Kandungan hina al-Quran turut disiasat bawah Akta 588

Gambar hiasan/RTM

CYBERJAYA, 27 Februari – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) meneruskan siasatan lanjut di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] susulan kes individu yang didakwa memuat naik gambar memijak al-Quran di media sosial.

RINGKASAN BERITA AI
  • MCMC menyiasat lanjut di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung gambar memijak al-Quran di Threads.
  • Kandungan dikenalpasti menghina Islam, berpotensi mencetuskan ketegangan dan menggugat keharmonian awam.
  • Kes boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Tindakan itu diambil selepas siasatan awal polis dijalankan berhubung penularan kandungan di platform Threads menggunakan nama akaun “ryandaselva”, yang memaparkan perbuatan berkenaan.

MCMC menerusi satu kenyataan memaklumkan, kandungan tersebut dikenal pasti mengandungi unsur penghinaan terhadap agama Islam serta berpotensi mencetuskan ketegangan dan menggugat keharmonian awam.

“MCMC telah mengambil keterangan individu terbabit di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam bagi melengkapkan siasatan.

“Kes disiasat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum sehingga RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

“Orang ramai diingatkan supaya menggunakan platform media sosial secara berhemah dan bertanggungjawab serta tidak menyebarkan kandungan yang boleh mengganggu ketenteraman awam, menyentuh sensitiviti agama atau menjejaskan perpaduan negara,” menurut kenyataan MCMC.