fb fb fb fb fb

Kanak-kanak tiga tahun kritikal, dadah dalam badan

KOTA BHARU, 20 Jun- Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun sembilan bulan di Kuala Krai berada dalam keadaan kritikal selepas pemeriksaan doktor mendapati ada kandungan dadah dalam badannya.

Menurut Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, mangsa yang tinggal di Kampung Sri Bintang, Kuala Krai dibawa ke Hospital Kuala krai (HKK) pada jam 5.00 pagi semalam oleh ibunya dalam keadaan kritikal untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, sebaik pemeriksaan dibuat mendapati dalam badan mangsa terdapat kandungan dadah jenis methamphetamine.


(Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun)

"Setelah siasat dibuat siasatan, didapati kanak-kanak ini telah dibawa oleh bapa saudaranya dan semasa dalam jagaan bapa saudaranya dipercayai kanak-kanak ini sama ada diberi dadah atau pun dibiarkan menyebabkan kanak-kanak ini terdedah dengan dadah dan memasukkan dalam badannya".

"Susulan itu, bapa saudara mangsa berusia 30 tahun ditahan pada 10.00 malam tadi dan siasatan awal dibuat, suspek mengaku membawa anak saudaranya itu ke suatu tempat.

"Namun menafikan memberi kanak-kanak itu dadah", katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu.

"Kanak-kanak lelaki itu kini sedang menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu.

Beliau berkata ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Media Baharu