fb fb fb fb fb

Kanak-kanak terlibat jenayah tetap boleh didakwa

Datuk Seri Azalina Othman berkata, undang-undang negara sedia ada terpakai kepada semua pihak tanpa mengira usia.

KUALA LUMPUR, 20 Ogos - Kanak-kanak yang terlibat dalam kesalahan jenayah termasuk perbuatan buli tetap dikenakan tindakan undang-undang serta dituduh di mahkamah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, undang-undang negara sedia ada terpakai kepada semua pihak tanpa mengira usia.

Bagaimanapun, prosedur perbicaraan bagi pesalah bawah umur dijalankan mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.

"Kalau mereka kanak-kanak tidak boleh pergi ke mahkamah biasa. Dia kena pergi mahkamah lain, termasuk Mahkamah khas dengan persidangan tertutup, dengan kamera,

Apabila Persuruhjaya Kanak-Kanak berikan kenyataan, mereka terangkan prosedur, bagaimana kalau kanak-kanak dituduh, proses di mahkamah. Namun keputusan ditetapkan oleh hakim," katanya pada sidang media selepas menghadiri Forum Asean Law 2025 di ibu negara.

Beliau mengulas mengenai kekeliruan yang timbul susulan kenyataan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) semalam.

Tegasnya, badan itu hanya menjelaskan mengenai prosedur di mahkamah melibatkan kanak-kanak, bukan bermaksud tidak boleh didakwa.

Mengulas lanjut, kerajaan sedang meneliti keperluan untuk menggubal satu akta khusus berhubung isu buli.

Ini mengambil kira tindakan yang dikenakan kepada pelaku memandangkan istilah buli ketika ini boleh ditafsir melalui pelbagai kesalahan lain.

Ia termasuk gangguan seksual, jenayah siber, ugutan jenayah atau isu diskriminasi di tempat kerja. ##

TUN JULIA MOHD TAHIR