
DARO, 1 Februari- Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dikhuatiri terjatuh ke Sungai Daro dalam kejadian yang berlaku di Kampung Panchor, Daro, petang tadi.
- Pihak bomba, polis dan APM menjalankan operasi mencari dan menyelamat di tebing sungai dan hutan sekitar rumah mangsa.
- Enam anggota BBP Daro dan penduduk kampung menggunakan perahu menyusuri sungai ke hulu dan hilir.
- Pencarian tertumpu dalam radius 500 meter dari kawasan rumah berdasarkan kesan tapak kaki ditemui.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daro, Pegawai Bomba Tinggi II (PBT II) Hasman Bakar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 2.28 petang.
Maklumat awal mendapati mangsa dipercayai keluar sendiri melalui pintu belakang rumah tanpa disedari oleh kedua-dua ibu bapanya sebelum hilang dari pandangan.
Bapa mangsa kemudiannya menemui kesan tapak kaki kanak-kanak tersebut yang menghala ke arah sungai sekitar pukul 1.00 petang, sebelum memaklumkan kejadian itu kepada pihak berkuasa.
Operasi mencari dan menyelamat diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan I, Shairul Nizam, dengan penglibatan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daro.
Pencarian turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan menumpukan kawasan tebing sungai serta hutan di belakang rumah pelapor dalam radius 500 meter.
Penduduk kampung juga tampil membantu usaha pencarian dengan menggunakan beberapa buah perahu untuk menyusuri sungai ke arah hulu dan hilir, selain menjalankan pencarian di kawasan hutan berhampiran.