(Mangsa, Muhammad Faris Irfan, 10 tahun ditemui dua batu nautika dari kawasan pantai
pada jam 8.20 pagi oleh nelayan/ FOTO: JBPM Perak)
LUMUT, 30 Julai- Kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang ketika beriadah bersama keluarganya di Pantai Teluk Senangin, disini, semalam ditemukan maut pagi tadi.
Mangsa yang dikenali sebagai Muhammad Faris Irfan, 10 tahun ditemui dua batu nautika dari kawasan pantai pada jam 8.20 pagi oleh nelayan berhampiran.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata seramai 67 anggota dari pelbagai
agensi telah digerakkan untuk operasi mencari dan menyelamat mangsa.
"Pasukan bomba yang tiba di lokasi kejadian membuat kerja mencari dan menyelamat secara 'surface searching' di kawasan Pantai Teluk Senangin.
"Manakala pasukan penyelamat menggunakan bot untuk mencari di laut sejauh dua batu nautika.
"Bagaimanapun mangsa ditemui maut oleh nelayan berhampiran Tanjung Hantu dan diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya," katanya kepada pemberita.
(Seramai 67 anggota dari pelbagai agensi telah digerakkan untuk operasi mencari dan menyelamat mangsa)
Operasi yang diketuai Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai Remis, Mohd Akmal Hussin itu tamat pada jam 9 pagi.
Terdahulu media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dilaporkan hilang di kawasan Pantai Teluk Senangin, Lumut ketika beriadah bersama ahli keluarganya.
Difahamkan kejadian itu berlaku pada 3.19 petang selepas ahli keluarga mangsa membuat laporan polis apabila menyedari mangsa hilang kira-kira 1 tengah hari.