Kanak-kanak hilang di Pantai Batu Rakit, SAR diteruskan

FOTO RTM

KUALA NERUS, 10 Januari – Operasi mencari dan menyelamat seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang dipercayai lemas sejak semalam di Pantai Batu Rakit, Kuala Nerus masih diteruskan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi mencari dan menyelamat seorang kanak-kanak empat tahun yang dipercayai lemas di Pantai Batu Rakit masih diteruskan.
  • Lebih 30 anggota pelbagai agensi terlibat dalam usaha SAR sejak panggilan diterima malam sebelumya.
  • Polis menasihatkan orang ramai mematuhi amaran bendera merah dan jangan mengambil risiko di kawasan pantai.

Lebih 30 anggota pelbagai agensi sedang bertungkus-lumus mencari mangsa.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin, berkata ini merupakan kejadian kedua kes lemas dilaporkan sepanjang Monsun Timur Laut kali ini.

“Sehingga hari ini, ini adalah kejadian kedua. Sebelum ini di Dungun, melibatkan kanak-kanak berumur 4 tahun. Saya nasihatkan sekali lagi, walaupun kita tidak bercadang mengambil tindakan, kita lebih suka menasihat dan mendidik supaya masyarakat lebih beringat terhadap risiko jika terlalu hampir dengan pantai,” katanya.

Dalam kejadian pada 6.43 petang semalam, pasukan Bomba dan Penyelamat Kuala Nerus menerima panggilan berkaitan kes lemas di Pantai Batu Rakit. Lima anggota pasukan penyelamat di air bergerak ke lokasi pada 6.47 petang sebelum operasi SAR dijalankan, namun mangsa masih belum ditemui.

Polis Terengganu mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi amaran bendera merah yang dipasang oleh pihak berkuasa tempatan dan menasihatkan pengunjung untuk tidak mengambil risiko, walaupun hanya untuk melihat ombak.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin