fb fb fb fb fb

Kanak-kanak empat tahun maut terjatuh dari tingkat 16

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 24 Mac- Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 16 bangunan Blok B, Kuarters Integrasi Hospital Sungai Buloh di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai insiden itu pada 4.28 petang dan anggota tiba di lokasi kejadian mendapati seorang kanak-kanak telah meninggal dunia.

Siasatan awal ke atas ibu dan bapa mangsa yang kedua-duanya berumur lingkungan 30-an mendapati ketika kejadian, seisi keluarga itu sedang tidur.

"Ketika ibu mangsa bangun tidur, beliau mendapati anak bongsunya itu berada di bahagian luar tepi jendela di ruang tamu yang telah terbuka tetapi tidak sempat mendapatkan mangsa sebelum mangsa terjatuh ke bawah," katanya.

Mohd Hafiz berkata kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dan punca kematian masih dalam siasatan.

"Satu kertas siasatan kes mati mengejut telah dibuka berkait kejadian tersebut dan ibu bapa mangsa juga akan diambil keterangan dalam masa terdekat," katanya.

Bagaimanapun sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi mana-mana balai polis berdekatan atau Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh menerusi talian 03-6156 1222 bagi membantu siasatan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI