SIK, 20 Januari - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 4 tahun ditemui hampir lemas dalam sebuah tali air berhampiran rumah neneknya di Kampung Tengah, Mukim Jeneri, Sik, Kedah petang, semalam.
Kejadian dipercayai berlaku sekitar pukul 4.50 petang ketika mangsa, Muhammad Izz Muttaqin Muhamaad Rizal sedang bermain seorang diri di hadapan rumah neneknya.
Pengarah Pasukan Bomba Sukarela Yayasan Jariah Malaysia (PBSYJM), Mahadzir Abdul Hamid berkata sebaik Pusat Operasi Bomba dan Briged Sukarela menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.13 petang, sepasukan empat anggota penyelamat PBSYJM digerakkan ke lokasi bersama-sama sebuah ambulan paramedik bagi operasi menyelamat mangsa.
Pihaknya tiba di lokasi kejadian enam minit kemudian.
"Sejurus tiba, kami mendapati mangsa telah diangkat ke daratan dan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri, mata tertutup rapat dan badan telah kebiruan dipercayai akibat lemas.
"Berbekalkan ilmu dan pengalaman yang ada, kami berusaha memberikan bantuan menyelamat kepada mangsa sedaya upaya. Sebaik mendapati mangsa mula memberi tindak balas, kami memberikan bantuan oksigen dan mengejarkan mangsa ke hospital Sik utk menerima rawatan segera. Alhamdulillah, keadaan mangsa sedikit stabil dan masih berada di Zon Merah." katanya kepada media.
Sementara itu, menurut nenek mangsa, Hasnah pada mulanya beliau menyangka cucunya mengikuti suaminya ke masjid untuk menunaikan solat Asar.
Namun disebabkan merasa tidak sedap hati, beliau keluar dari rumah dan mencari cucunya di merata tempat sebelum menemui mangsa terlangkup dalam tali air sedalam 1.5 meter dan hanyut hampir 50 meter dari rumahnya.
Sebaik cucunya berjaya diangkat, beliau mendapati mangsa sudah tidak sedarkan diri sebelum jirannya menghubungi pasukan PBSYJM yang beroperasi di Kampung Tala, Jeneri.
Ibu bapa kanak-kanak berkenaan menetap di Kuala Lumpur dan difahamkan mangsa menetap dengan neneknya sejak kecil dan mangsa juga pernah menjalani prosedur pembedahan jantung dua tahun yang lepas.
Operasi penyelamatan tamat kira-kira pukul 6.30 petang.