fb fb fb fb fb

Kanak-kanak 11 tahun ditemukan lemas, seorang lagi masih hilang di Rantau Panjang

Foto Hiasan

PASIR MAS, 25 Disember- Seorang kanak-kanak berusia 11 tahun ditemukan lemas manakala rakannya masih belum ditemui selepas dipercayai bermain air banjir di Rantau Panjang, petang semalam.

Timbalan Ketua Polis Pasir Mas, Superitenden Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.39 petang, semalam.

Panggilan daripada orang awam itu memaklumkan dua kanak-kanak perempuan lingkungan umur 11 tahun lemas bermain air banjir di Kampung Petai Dusun, Rantau Panjang.

Dalam kejadian 6.30 petang itu mangsa, Siti Aisyah Mazi diselamatkan orang awam, namun disahkan meninggal dunia di Hospital Tanah Merah.

Operasi Mencari Dan Menyelamat mangsa kedua iaitu Nur Damia Qaisara Mohd Sabre masih giat dilakukan.

Maklumat awal mendapati kedua-dua mangsa yang sedang bermain air tergelincir sebelum dibawa arus. 

“Saya nasihatkan orang ramai untuk cakna mengenai keselamatan anak-anak di bawah jagaan masing-masing yang bermain air tanpa pengawasan,” katanya.

ZEHRA BINTI ZAMBRI