fb fb fb fb fb

Kanada zahir komitmen kukuh kerjasama dengan ASEAN

Menteri Luar Kanada, Anita Anand bercakap semasa Persidangan Pasca Kementerian ASEAN dengan Kanada, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 Julai –Kanada menzahirkan komitmen tinggi untuk memperkukuh hubungan dagangan, keselamatan, dan kerjasama ekonomi dengan negara-negara ASEAN, selari dengan dasar baharu pentadbiran negara itu di bawah Perdana Menteri, Mark Carney.

Menteri Luar Kanada, Anita Anand, dalam ucapan pembukaan Mesyuarat Pasca Persidangan Menteri-Menteri Luar ASEAN bersama Kanada buat julung kalinya menegaskan, kerjasama antarabangsa bersama rakan dagangan yang dipercayai menjadi keutamaan kerajaan baharu Kanada.

"Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada tuan rumah atas sambutan yang amat mesra kepada saya dan delegasi Kanada. Ini merupakan mesyuarat ASEAN pertama saya dan saya amat teruja untuk bekerjasama dengan anda semua bagi memperkukuh hubungan Kanada dan negara-negara ASEAN," katanya.

Menerusi ucapan itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Malaysia serta Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan atas kepimpinan selaku Pengerusi ASEAN 2025, serta penghargaan kepada Laos atas peranan sebagai Penyelaras Negara Kanada-ASEAN.

Menurut Anand, Ottawa akan terus memainkan peranan aktif dalam menangani cabaran keselamatan global, mengukuhkan rantaian bekalan serta menjamin keselamatan ekonomi dan tenaga bersama negara-negara yang berkongsi nilai dan kepercayaan terhadap perdagangan bebas serta kerjasama multilateral.

"Hubungan Kanada dan ASEAN kini berada pada landasan yang kukuh dengan penglibatan aktif pelbagai peringkat, termasuk mesyuarat ekonomi, perdagangan, pembangunan antarabangsa dan daya tahan serantau dalam tempoh setahun ini," katanya.

Kanada juga telah menyertai Suruhanjaya Sungai Mekong (MRC) sebagai rakan pembangunan dan akan menempatkan duta pertamanya di Laos dan Kemboja dalam masa terdekat.

Namun begitu, beliau mengakui, hubungan ini berkembang dalam suasana ketidaktentuan global termasuk amalan perdagangan yang tidak adil seperti lambakan dan paksaan ekonomi yang menjejaskan prospek ekonomi serantau dan global.

Bagi menghadapi cabaran ini, Kanada komited memperkukuh rantaian bekalan dan mempromosi keselamatan makanan serta tenaga.

Negara itu turut menyokong perjanjian perdagangan bebas bersama ASEAN sebagai langkah memperkukuh daya tahan ekonomi dan kepelbagaian perdagangan.

"Kami mahu memastikan perunding tidak terpesong oleh ketidaktentuan dasar dan mempercepat rundingan untuk mencapai perjanjian perdagangan bebas. Ini penting untuk manfaat syarikat dan pengeksport kami," tegasnya.

Kanada turut mengulangi pendirian menyokong kerjasama serantau dan pelan Strategi Indo-Pasifik yang seiring dengan agenda ASEAN.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI