fb fb fb fb fb

Kampung Pasir Pekan Tengah terima peruntukan RM2.5 juta

Datuk Dr Maziah Che Yusoff

TUMPAT, 28 Mac- Sebanyak RM2.5 juta diperuntukkan kepada Kampung Pasir Pekan Tengah, Tumpat, Kelantan yang diiktiraf sebagai Kampung Angkat MADANI bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bagi memaju dan menaik taraf kemudahan asas.
 
Ketua Setiausaha KPWKM Datuk Dr Maziah Che Yusoff berkata, projek itu antaranya menaik taraf infrastruktur seperti jalan dan pemasangan lampu jalan serta pembinaan jeti bot kekal di kampung berkenaan.

Kedudukan kampung tersebut yang berada di tepi sungai Kelantan, menyebabkan perkampungan itu antara yang terawal ditenggelami air apabila berlaku banjir.
 
Penambahbaikan jalan dan pemasangan lampu menjamin keselamatan penduduk selain mengelakkan mereka daripada terputus hubungan dengan kemudahan di bandar Kota Bharu mahupun Tumpat.

"Pemandangan di tepi sungai ni adalah menarik dan kalau perhatikan ada beberapa kedai sepanjang jalan itu untuk menjana aktiviti ekonomi. Jadi kita berpandangan untuk membantu penduduk kampung ini menjana pendapatan melalui aktiviti-aktiviti ekonomi dan pelancongan.

"Kalau perhatikan kita ada juga bot-bot jadi kita nak naik taraf jalan tepi sungai tu sebagai trek untuk jalan kaki dan lanskap dengan harap itu membantu untuk penjanaan ekonomi," katanya dalam sidang media di Program Tinjauan Kesejahteraan Keluarga dan Komuniti Kampung Angkat MADANI di Kampung Pasir Pekan Tengah, di sini.
 
Pihaknya juga akan meneliti program dan perkhidmatan sosial yang sesuai untuk dibawa kepada penduduk kampung dalam memastikan aspek kesejahteraan sosial dan kebajikan penduduk dijaga.
 
Projek yang akan dilaksanakan dalam tempoh setahun sehingga Disember depan itu akan dimulakan secepat mungkin bagi memberi manfaat kepada kira-kira 1,800 penduduk.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI