fb fb fb fb fb

Kampung Melayu Lama Air Itam dicalonkan sebagai tapak warisan

FOTO BERNAMA

GEORGE TOWN, 14 November - Kampung Melayu Lama Air Itam, Pulau Pinang dicalonkan sebagai tapak warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai berkata kawasan tersebut dipilih berikutan ia mempunyai nilai sejarah dan antara sumber penyebaran Islam di negeri tersebut.

Ia kini dalam proses memperoleh persetujuan pemilik dan pihak berkuasa negeri sebelum pewartaan rasmi dilaksanakan.

"Oleh itu, Kampung Melayu Lama Ayer Hitam ini kita telah membuat pencalonan kerana makam Syeikh Omar di sana mempunyai nilai sejarah yang tinggi dan merupakan salah satu sumber penyebaran Islam di Pulau Pinang. Dan Syeikh Omar ialah Mufti pertama di Pulau Pinang.

'Saya rasa, selain daripada itu, ia perlu mempunyai 'universal value' dengan sejarahnya, penghuninya, aktiviti kemasyarakatannya dan sebagainya. Dan tertakluk kepada Jabatan Warisan Negara.

"Jabatan Warisan Negara mempunyai satu kriteria yang menetapkan beberapa unsur yang saya sebut tadi sebelum mereka boleh meluluskannya sebagai tapak warisan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang, Muhamad Kasim dalam Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Yang ke-15 berhubung kriteria yang dinilai sebelum pencalonan kawasan tersebut dibuat.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM