fb fb fb fb fb

Kampung Angkat Madani, Kampung Banggol terima peruntukan RM2.5 juta

Foto BERNAMA

KUALA TERENGGANU, 9 Mac- RM2.5 juta diperuntuk kepada Kampung Angkat Madani pertama negara, Kampung Banggol Cempedak, Kuala Terengganu.

Peruntukan tersebut merangkumi pelbagai projek pembangunan di kampung itu termasuk menaik taraf surau dan jalan serta menyiapkan pagar di beberapa tanah perkuburan.

Perkara tersebut diumumkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Datuk Seri Mohd Zuki Ali dalam ucapannya semasa merasmikan Kampung Angkat Madani di Dataran Kampung Banggol Cempedak, Serada, Kuala Terengganu.

Menurut beliau, secara keseluruhannya RM100 juta diperuntuk bawah inisiatif itu bagi memperkasa komuniti kampung.

Terdapat lebih 200 penduduk di kampung berkenaan yang terlibat dalam bidang pembinaan, pertanian, nelayan dan penternak ikan sangkar.

Lokasi tersebut dipilih kerana berpotensi dijadikan tarikan pelancongan antaranya aktiviti rekreasi, warisan, kesenian dan pengenalan produk hiliran industri kecil dan sederhana.

"Saya bercadang sekiranya peruntukan itu diluluskan, secara rasminya nanti kita bercadang nak bina chalet-chalet kemudian kita tubuhkan koperasi untuk orang kampung," kata Che Muni Mohd Nor, wakil penduduk Kampung Banggol Cempedak.

Sementara itu, pada majlis sama, turut diadakan, penyerahan sumbangan barangan kembali ke sekolah kepada 142 pelajar sekitar Kuala Terengganu.
 
104 ketua isi rumah pula menerima Agihan Bakul Ramadhan dan penyampaian plakad bantuan bina baru rumah kasih ihsan kepada 12 penerima.

Mengulas lanjut, Tan Sri Zuki berkata RM50 juta diperuntuk di Terengganu melalui Pejabat Pembangunan Negeri bagi melaksanakan pelbagai program pembasmian kemiskinan di negeri berkenaan.

Daripada jumlah tersebut, RM38.21 juta sudah diluluskan bagi tujuan itu termasuk membaik pulih rumah miskin dan miskin tegar.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM