GUA MUSANG, 26 Januari - Lebih 1,000 penduduk Kampung Serian, di sini, berharap projek jalan bernilai RM5.3 juta menghubungkan kampung itu dengan Kampung Baru Star yang terbiar sejak lebih 10 tahun lalu dapat disiapkan segera.
Penduduk kampung mendakwa projek jalan sepanjang kira-kira 18 kilometer yang dilaksanakan oleh Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) pada tahun 2013, tidak disiapkan dengan sempurna.
Meluahkan rasa kecewa, penduduk kampung sebelum ini dijanjikan dengan projek jalan baharu yang akan menyingkatkan masa perjalanan mereka ke bandar Gua Musang dan Jeli.
Hasil tinjaun RTM mendapati, hanya satu jambatan besi disiapkan oleh kontraktor dan hanya laluan sepanjang 500 meter siap diturap sebelum dihentikan pada 2013.
Penduduk Kampung Serian, Muhamad Rofi Ismail, 56 berkata penduduk kecewa apabila projek itu dilaksanakan separuh jalan sehingga laluan itu terbiar dan rosak serta tidak dapat digunakan oleh penduduk kampung.
"Jadi KESEDAR buat dua buah jambatan seolah-olah macam di Kota Bahru. Di sini ada dua jambatan tapi tak ada jalan. Buat (projek) macam melepas batuk ditangga sekarang jalan tar tu dah pecah, sudahlah jalan yang dibuat tak sempurna.
"Jadi kita sebagai penduduk kampung sini nak tuntut semula agar KESEDAR teruskan projek jalan ini sehingga selesai," katanya.
Sementara itu, Muhammad Faisal Yaakob, yang merupakan penduduk kampung berkata, mereka pernah dijanjikan oleh KESEDAR untuk menurap jalan dengan sempurna.
"Sekarang jalan terbiar hanya orang kampung menyenggara jalan raya sendiri dengan cangkul, kadang-kadang gotong-royong. Tapi ramai tak lalu jalan ni, hanya beberapa orang lalu.
"Baru-baru ini orang KESEDAR ada masuk (meninjau), janji mengadu nak selenggara balik, naik taraf semula tapi (sekarang) senyap tak ada jawapan daripada mana-mana pihak," katanya.
Warga emas, Kadir Wahab, 61, berkata, mereka pernah dijanjikan laluan jalan baru yang lebih besar sehingga penduduk bersetuju menyerahkan tanah mereka.
"Penduduk Kampung Serian berasa teraniaya kerana jalan yang dibuat itu hanya boleh dilalui dengan motosikal dan kenderaan pacuan empat roda.
"Kami rasa kecewa dan perasaan macam orang bodoh apabila jalan semakin rosak kerana sebelum projek itu dibuat jalan terbabit sudah berturap dan boleh dilalui oleh semua kenderaan," katanya.
Penduduk berharap agar agensi terlibat dapat meneruskan kembali projek jalan tersebut kerana laluan itu dapat memendekkan masa selama 30 minit berbanding satu jam sekiranya menggunakan jalan biasa untuk ke bandar Gua Musang.