fb fb fb fb fb

Kajian SSPA kini diperingkat akhir - KSN

Foto hiasan

PUTRAJAYA, 13 Februari - Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) kini berada diperingkat akhir sebelum ianya dibawa ke Jemaah Menteri untuk dimuktamadkan, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Berucap menyampaikan amanat tahun 2024 di sini hari ini, beliau berkata kajian SSPA dibuat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu sedang diteliti sebaiknya sebelum apa-apa keputusan dibuat.

“… JPA di peringkat akhir kajian (SSPA) dan akhirnya kerajaan akan meneliti atau membuat keputusan berdasarkan apa yang diputuskan,” katanya.

Mohd Zuki memuji komitmen Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang komited dan berani melaksanakan kajian SSPA demi kebajikan penjawat awam.

“Ini menunjukkan kerajaan sentiasa prihatin, beri keutamaan kepada kebajikan penjawat awam dan sebenarnya ini bukan perkara baharu.

Lama dah kita bincang, sebab itu saya lihat kerajaan yang ada hari ini paling berani melaksanakan perkara ini,” katanya.

Pada 9 Feb lepas, Anwar berkata hasil kajian SSPA dijangka diumumkan selewat-lewatnya suku keempat tahun ini.

Pihak media sebelum ini melaporkan laporan akhir kajian SSPA dijangka siap dalam tempoh dua bulan lagi.

Anwar dilaporkan sebagai berkata perkara itu diputuskan berdasarkan persetujuan Mohd Zuki dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Dalam perkembangan lain, Mohd Zuki mahu semua peraturan dan pekeliling dalam perkhidmatan awam dikaji semula supaya ia sesuai dengan kehendak semasa.

Beliau berkata KPPA bersama Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican telah diminta untuk menyemak perkara itu.

“Kadang-kadang kita susah hati kerana dah bertahun-tahun, kita (masih) guna peraturan lama dan ia tidak lagi sesuai dengan kehendak zaman dan semasa,” katanya. - BERNAMA

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI