fb fb fb fb fb

Kajian rintis ECOSS melibatkan pengguna dilaksana tahun ini

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh

KUALA LUMPUR, 17 Februari- Kajian rintis Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (ECOSS) melibatkan pengguna akan dilaksana tahun ini, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh.

Beliau berkata kajian tersebut bagi memastikan bekalan minyak masak peket bersubsidi sampai kepada golongan sasar.

"Bila buat projek rintis 2025 nanti, kita akan menggunakan ID atau satu bentuk ID mungkin, kita sedang dalam proses rundingan untuk mendapatkan kerjasama agensi supaya kita kenal pasti dia betul-betul warganegara yang boleh menggunakan dan mendapat bekalan tersebut. Ini yang dimaksudkan apabila kita hendak membantu pengguna", katanya dalam sesi Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan wakil Tanjung Karang, Datuk  Dr Zulkafperi Hanapi mengenai cadangan mempertimbang pembayaran subsidi secara tunai.

Ketika ini sistem ECOSS hanya dilaksana sehingga ke peringkat peruncit.

Mengulas lanjut, Fuziah turut memaklumkan kerajaan tidak berhasrat menambah kuota minyak masak peket yang ketika ini diperuntuk sebanyak 60,000 tan metrik, sebulan.

Pada 2024, kerajaan memperuntukkan lebih RM1.9 bilion bagi pelaksanaan program Skim Penstabilan Harga Minyak Masak.

ROSLINA BINTI DIN