KUALA LUMPUR, 29 Februari -Kajian mengenai pelarasan gaji penjawat awam akan diteruskan tahun ini. Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, langkah itu diambil sebagai tanda penghargaan atas usaha dan komitmen penjawat awam melaksanakan tugas dengan baik.
"Sebab itu saya kata pelarasan gaji tidak dikaji 10 tahun, ini masuk 12 tahun. Tetapi pemimpin-pemimpin maha kaya belaka. Gaji penjawat awam yang setia menyokong dan kerja bertungkus lumus, ada sebahagian kecil yang kurang majoriti kerja dengan baik.
"Tetapi, dalam kurangkan defisit, tangguhkan beberapa projek raksasa, saya masih bersama-sama Ketua Setiausaha Negara (KSN), Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) dan jemaah menteri memutuskan akan terus melaksanakan pelarasan gaji tahun ni juga kepada penjawat awam," kata Anwar ketika berucap dalam Sidang Kemuncak Anti-Rasuah Kebangsaan (NAC Summit) 2024 di Ibu Negara.
Hadir sama pada majlis tersebut Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.