
SHAH ALAM, 12 Januari – Kementerian Pendidikan (KPM) memerlukan tempoh tertentu untuk meneliti cadangan mengembalikan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).
- KPM sedang jalankan kajian komprehensif untuk menilai semula pelaksanaan UPSR dan PT3 termasuk kesan terhadap pembelajaran murid.
- Pandangan ibu bapa dan masyarakat diambil kira dalam penilaian semula pemansuhan peperiksaan utama itu.
- Hasil kajian diharapkan siap dan dibentangkan untuk pertimbangan lanjut dalam tahun ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, sebarang keputusan berkaitan sistem pentaksiran negara tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa kerana ia melibatkan hala tuju pendidikan serta perkembangan murid dalam jangka panjang.
“Kajian komprehensif sedang dijalankan bagi menilai keberkesanan kaedah pentaksiran sedia ada, termasuk kesannya terhadap pembelajaran dan pembangunan murid secara menyeluruh,” katanya selepas meninjau sesi persekolahan hari pertama tahun akademik 2026/2027 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ladang Regent, Elmina, pagi ini. Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh.
Fadhlina menjelaskan kajian itu turut mengambil kira pandangan ibu bapa dan masyarakat yang mengharapkan penilaian semula terhadap pemansuhan peperiksaan utama berkenaan, selain menilai pendekatan pentaksiran yang sedang dilaksanakan di sekolah.
Beliau berharap kajian tersebut dapat disiapkan dalam tempoh tahun ini supaya hasilnya dapat dibentangkan untuk pertimbangan lanjut secepat mungkin.