KUALA LUMPUR, 3 September - Kementerian Kesihatan (KKM) sedia mengkaji pelaksanaan reformasi pembiayaan penjagaan kesihatan bagi golongan warga emas.
Ini selaras dengan perubahan demografi negara ke arah masyarakat menua.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata antara cadangannya termasuk mempertimbangkan untuk mewujudkan skim perlindungan sosial seperti caruman khas sebagai persediaan penjagaan kesihatan di usia emas.
Hasrat tersebut boleh direalisasikan dengan kerjasama kementerian lain.
“Ia juga boleh dilaksana dengan kerjasama kementerian lain seperti Kementerian Kewangan.
"Perubahan demografi juga sememangnya menuntut kita mempelbagaikan dan menambah sumber pembiayaan awam,” katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) bagi KKM di Dewan Negara, hari ini.
Bagi inisiatif jangka panjang, beliau berkata KKM sedang merangka penubuhan Dana Kesihatan Nasional yang akan berteraskan hasil cukai langsung dan tidak langsung.
Ia melibatkan cukai prokesihatan ke atas produk berisiko seperti rokok, vape, alkohol dan minuman bergula.
“Pelaksanaan cukai ini juga diharap dapat mempengaruhi perubahan tingkah laku ke arah kehidupan lebih sihat," jelasnya.