fb fb fb fb fb

Kagumi kecekalan veteran perang, inspirasi Jeevagan hasilkan dokumentari

Pelajar tahun akhirIjazah Sarjana Muda Teknologi Media, Universiti Utara Malaysia (UUM)Jeevagan Krishnan menyerahkan cenderahati kepada bekas veteran perang, Nor Muhammad Lawamiah/Foto UUM

SINTOK, 2 Julai – “Peluang menemubual dan bertemu veteran pasukan keselamatan negara menguatkan lagi perasaan sayangkan negara ini. Saya mahu kongsikan perasaan itu melalui penghasilan “Darurat: Tanah Tumpahnya Darahku.”

Menurut Jeevagan Krishnan, mendengar sendiri pahit getir kisah perjuangan menentang komunis daripada bekas anggota keselamatan sendiri, meningkatkan lagi semangat patriotisme di dalam dirinya.

Bagi menyiapkan dokumentari sebagai projek tahun akhir untuk memenuhi kerja kursus Ijazah Sarjana Muda Teknologi Media, Universiti Utara Malaysia (UUM), beliau berpeluang bertemu 3 bekas anggota keselamatan yang terlibat di dalam operasi menggempur komunis.

“Kisah perjuangan mereka, iaitu Yahya Khamis, 69 tahun, Othman Shaari, 80 dan Noor Muhammad Lawamiah, 67 tahun benar-benar menyedarkan saya tentang pentingnya berkorban untuk mempertahankan tanah air tercinta. Saya melihat satu semangat kecintaan terhadap tanah air yang tidak pernah luntur. Walaupun, mereka tidak lagi sihat seperti dahulu, semangat dan jiwa perjuangan mereka sangat mengagumkan saya. Mereka sentiasa bersemangat apabila bercerita tentang pengalaman menggempur komunis pada era 1970-an.

“Saya berharap, semua generasi muda pada hari ini mengambil iktibar dan mencontohi semangat perjuangan yang dimiliki mereka dalam memastikan Malaysia terus merdeka dan kita hidup bersatu padu,” tegas Jeevagan.

Menurut mahasiswa berusia 23 tahun ini, beliau memulakan penyelidikan untuk mengesan veteran anggota keselamatan melalui laporan media.

Dari situ, dia mengesan dan berjaya menghubungi ketiga-tiga veteran yang berjasa besar kepada negara dan rakyat negara ini.

Selepas menetapkan tarikh temubual, Jeevagan memulakan proses rakaman dan berharap kandungan yang dihasilkannya itu bukan sahaja menjadi koleksi peribadi tetapi mampu mencetuskan semangat dalam kalangan anak muda terhadap semangat cintakan negara.

“Walaupun saya mendalami bidang Teknologi Media di UUM, pertemuan dengan anggota veteran ini menyemarakkan semangat saya untuk menyertai pasukan polis apabila tamat pengajian kelak.

“Jika tiada halangan, saya mahu berkongsi kandungan yang saya hasilkan nanti di platform media sosial. Sekurang-kurangnya, saya mahu menyumbang kepada usaha meningkatkan kesedaran kepada orang muda terhadap patriotisme,” jelas Jeevagan.

Kisah Yahya, seorang veteran Rejimen Askar Melayu Diraja misalnya, menyedarkan saya bahawa keamanan yang kita nikmati pada hari ini adalah hasil pengorbanan generasi terdahulu.

“Saya benar-benar terkesan apabila beliau bercerita bagaimana berdepan serangan hendap kira-kira 20 komunis pada 28 Mac 1978. Yahya mengalami kecacatan kekal kerana serangan yang berlaku di Kampung Air Panas, Gerik itu.

“Othman Shaari, seorang veteran Rejimen Askar Wataniah pula, cedera parah dalam pertempuran dengan komunis di kawasan Gubir pada 10 Januari 1976,” kata Jeevagan.

Noor Muhammad, veteran Komando pula berkongsi pengalaman ketika melakukan rondaan di bawah Op Gubir Muda 1 pada tahun 1978 dan beliau cacat kaki kerana terkena jerangkap samar komunis.

Jeevagan menyifatkan pertemuan dengan veteran pasukan keselamatan yang terlibat secara langsung dengan operasi mematahkan ancaman komunis itu satu peluang yang sangat bermakna secara peribadi kepadanya kerana meniupkan semangat cintakan negara yang semakin menebal di dalam diri.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD