fb fb fb fb fb

Kaedah padi nuklear, mampu tingkatkan pengeluaran padi negara - MOSTI

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 8 November- Benih padi NMR152 atau dikenali sebagai padi nuklear mempunyai daya tahan lebih tinggi terhadap penyakit, ancaman cuaca dan serangga.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata penyelidikan teknik biak baka mutasi yang dilaksana Agensi Nuklear Malaysia itu, berjaya menghasilkan kepelbagaian baka tanaman yang lebih berkualiti serta mampu meningkatkan pengeluaran padi sehingga 60%.

"Hasil kajian mendapati varieti padi ini yang ditanam di pelbagai lokasi di Semenanjung Malaysia menunjukan purata hasil padi boleh ditingkatkan dari 20% hingga 60% bergantung kepada lokasi, pengkelasan tanah dan juga kaedah pengurusan sawah yang baik," kata Arthur di Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan dikemukakan Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin berhubung sejauh mana teknologi nuklear telah diaplikasikan secara optimum di dalam inovasi pertanian bagi menambah baik kualiti, mutu dan meningkatkan pengeluaran pertanian.

Tambahnya, MOSTI dan Agensi Nuklear Malaysia sedang berusaha untuk membawa dan mengkomersialkan benih padi itu ke Sabah bagi mempelbagaikan benih padi sedia ada.

Justeru, MOSTI bercadang berkolaborasi bersama Jabatan Pertanian Sabah dalam penyelidikan varieti baru untuk meningkatkan hasil tanaman padi tempatan.

Sejak 2016 sehingga tahun ini, MOSTI telah memperuntukkan sejumlah RM15.73 juta untuk pembangunan teknologi nuklear dalam bidang pertanian.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM