
SHAH ALAM, 13 Februari – Kadar zakat fitrah bagi umat Islam di Selangor pada Ramadan tahun ini ditetapkan sebanyak RM8, RM16 dan RM25 seorang.
- Kadar zakat fitrah ditetapkan RM8, RM16 dan RM25 seorang mengikut jenis beras yang dimakan.
- Pelantikan lebih 2,400 Penolong Amil Fitrah bertugas di lebih 460 masjid dan surau untuk kutipan Ramadan.
- Penggunaan aplikasi mudah alih dan pembayaran tanpa tunai disediakan termasuk EZO, ZPay dan kaedah FPX, kad serta e-dompet.
Penetapan itu diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Mohd Khaidzir Shahari selepas mendapat kelulusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Selangor serta perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Beliau berkata kadar berkenaan ditentukan berdasarkan harga semasa beras di pasaran serta timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.6 kilogram beras.
Kadar sebanyak RM8 dikenakan kepada individu yang memakan beras super spesial tempatan atau beras putih import. Manakala sebanyak RM16, bagi mereka yang memakan beras wangi, beras pulut, beras rebus atau beras perang.
Sementara, kadar RM25 pula bagi individu yang memakan beras basmathi, herba ponni, beras Jepun atau calrose, beras merah dan beras hitam.
Lebih 2,400 Penolong Amil Fitrah pula dilantik dan akan bertugas di lebih 460 masjid serta surau di seluruh negeri bagi memastikan kelancaran kutipan sepanjang Ramadan.
Orang ramai juga dinasihatkan supaya menunaikan zakat fitrah hanya kepada Penolong Amil Fitrah yang dilantik secara rasmi.
Tahun ini, beberapa daerah termasuk Kuala Selangor, Klang, Petaling, Hulu Langat dan Gombak menggunakan aplikasi mudah alih sepenuhnya bagi urusan kutipan.
Pembayar akan menerima slip pengesahan bayaran secara digital dan semakan boleh dibuat melalui sistem EZO.
Di daerah Sabak Bernam, Hulu Selangor, Sepang dan Kuala Langat pula, pembayaran masih boleh dibuat menggunakan buku kupon fitrah, selain turut disokong aplikasi sama.
Selain itu, pembayaran tanpa tunai boleh dibuat menerusi aplikasi ZPay di lebih 200 premis terpilih menggunakan kaedah FPX, kad kredit atau debit, e-dompet serta QR DuitNow.
Umat Islam di Selangor digalakkan menunaikan zakat fitrah lebih awal bagi membolehkan agihan kepada golongan asnaf dilaksanakan sebelum Aidilfitri, dengan 19 cawangan Lembaga Zakat Selangor dibuka tujuh hari seminggu termasuk cuti umum sepanjang Ramadan.