fb fb fb fb fb

Kadar zakat fitrah di Wilayah Persekutuan ditetapkan antara RM7- RM22

Datuk Na'im Mokhtar bergambar bersama penerima sumbangan ketika Majlis Persidangan Pengurusan Masjid dan Surau, Penyampaian Bantuan Ihya' Ramadan dan Tauliah Amil Zakat Fitrah Wilayah Persekutuan di Masjid Wilayah Persekutuan/ Foto: FB MAIWP

KUALA LUMPUR, 5 Mac- Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syara Wilayah Persekutuan Kali ke-143 menetapkan zakat fitrah di Wilayah Persekutuan ditetapkan pada kadar RM7, RM15, dan RM22 tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, bayaran RM7 dikenakan ke atas pengguna beras super special tempatan dan beras import biasa iaitu kekal sama tahun lalu.

Manakala RM15 seorang bagi pengguna beras import premium dan RM22 seorang bagi pengguna beras basmathi yang menyaksikan masing-masing meningkat RM1 berikutan kenaikan harga semasa.

Beliau berkata seramai 75 orang Ketua Penolong Amil dan 867 Penolong Amil telah dilantik bagi memudahkan orang ramai menunaikan tuntutan membayar zakat fitrah pada tahun ini.

"Zakat fitrah juga boleh ditunaikan menerusi amil-amil yang dilantik oleh MAIWP yang akan membuka kaunter-kaunter kutipan di pelbagai lokasi di sekitar Wilayah Persekutuan. Ini termasuk 11 kaunter zakat PPZMAIWP, selain di masjid-masjid, surau-surau, pasar raya dan beberapa lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai di seluruh Wilayah Persekutuan,” katanya.

Mohd Na’im berkata demikian dalam ucapan Persidangan Pengurusan Masjid Dan Surau, Penyampaian Bantuan Ihya’ Ramadan Dan Tauliah Amil Zakat Fitrah Wilayah Persekutuan Tahun 1445H/2024M di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau turut mengumumkan sumbangan Ihya’ Ramadan untuk aktiviti pengimarahan masjid sebanyak RM19.03 juta daripada dana zakat MAIWP melibatkan 871 buah masjid, surau Jumaat dan surau biasa di Wilayah Persekutuan.
 
Bagi membantu golongan asnaf menyambut Ramadan pula, Bantuan Khas Persediaan Ramadan sebanyak RM500 diberi secara ‘one off ‘ berkuatkuasa hari ini melibatkan 32,205 orang penerima Bantuan kewangan Bulanan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM16.125 juta.

Pada majlis itu Mohd. Naim turut melancarkan Pelan Warta Persempadanan Kariah Masjid-Masjid Wilayah Persekutuan bagi meningkatkan keberkesanan tadbir urus kariah masjid pada masa akan datang.

Pelan berkenaan dibangunkan dengan kerjasama Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dan telah disiarkan dalam Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 15 Januari 2024.

ZEHRA BINTI ZAMBRI