fb fb fb fb fb

Kadar Zakat fitrah di Selangor RM7, RM14 dan RM21

FOTO HIASAN

SHAH ALAM, 8 Mac - Kadar zakat fitrah di Selangor bagi Ramadan tahun ini ditetapkan pada kadar RM7, RM14 dan RM21 seorang mengikut jenis beras yang di makan.

Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam kenyataan berkata, penetapan itu berdasarkan harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan oleh kebanyakan penduduk Islam di Selangor pada kadar timbangan satu gantang bersamaan 2.6 kilogram.

"Kadar zakat fitrah RM7 ditetapkan untuk pengguna beras Super Special Tempatan lima peratus dan ia merupakan kadar wajib minimum sebagaimana diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.

"Kadar RM14 pula adalah bagi pengguna beras Super Import, beras perang, beras pulut, Herba Ponni dan beras wangi, manakala kadar RM21 untuk umat Islam yang memakan beras jenis basmati, beras Jepun, beras merah dan setaraf dengannya," menurut kenyataan itu.

Platform EZakatPay turut disediakan dengan melayari https://fpx.zakatselangor.com.my, perbankan Internet, portal MyEg dan Pos Online serta aplikasi e-dompet iaitu MAE, Tounch N Go, Selangkah, GoPayz dan Boost.

LZS turut menyediakan ‘Zakat On Wheels’ di lokasi strategik seperti di masjid, bazar Ramadan, pasar tani, pasar raya dan sebagainya di sekitar negeri ini bagi memudahkan umat Islam yang memerlukan perkhidmatan lembaga itu.

"Semua 18 cawangan LZS di seluruh Selangor juga akan dibuka tujuh hari seminggu termasuk cuti umum sepanjang Ramadan bagi memudahkan masyarakat menunaikan zakat fitrah dan harta,"
kata kenyataan itu.

TETITIA YUSOFF