fb fb fb fb fb

Kadar Zakat Fitrah di Pahang kekal

Foto RTM

PEKAN, 8 Mac - Kadar zakat fitrah di Pahang pada Ramadan tahun ini kekal seperti tahun lepas iaitu dengan kadar RM7, RM14 dan RM21 mengikut jenis beras yang dimakan sebagaimana diperkenan oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Namun pada tahun ini, umat Islam yang berkemampuan buat pertama kalinya diwajibkan membayar kadar zakat fitrah mengikut jenis beras yang digunakan secara harian.

Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Datuk Ahmad Hairi Hussain berkata, tiga resit berlainan warna disediakan kepada pembayar iaitu RM7, RM14 dan RM21.

"Kadar zakat fitrah negeri Pahang bagi tahun 1445 Hijriyyah bersamaan 2024 ditetapkan dengan kadar RM7.00 setelah mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang.

"Kadar minimum yang perlu dibayar oleh setiap rakyat Pahang berkewajipan mengeluarkan zakat fitrah ialah RM7.00 dan diwajibkan yang menggunakan beras wangi atau seumpama dan setara sebanyak RM14.00, dan yang menggunakan beras basmathi atau seumpama dan setara sebanyak RM21.00", katanya yang ditemui media pada majlis pengumuman kadar Zakat Fitrah Pahang 2024 di Pejabat MUIP di sini.

Tambahnya, bagi melancarkan urusan kuitipan zakat fitrah, seramai 918 amil telah ditauliahkan untuk melaksanakan urusan kutipan zakat.

Selain itu, pihaknya juga menyediakan kemudahan pembayaran zakat fitrah secara dalam talian menerusi pautan e-zakat.muip.gov.my dan QR Code Bank muamalat.

Ahmad Hairi turut menjelaskan, individu yang didapati memungut zakat fitrah tanpa kebenaran akan disabitkan kesalahan dibawah seksyen 38 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM3,000 atau penjara tidak lebih daripada dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, sepanjang Ramadan tahun ini, Muip akan mengagihkan bantuan berjumlah RM20,281,400 melibatkan seramai 38,965 penerima.

Agihan tersebut termasuk bantuan menyambut Ramadan kepada asnaf fakir dan miskin iaitu sebanyak RM5,247,400 melibatkan 11,550 ketua isi rumah.


 

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD