fb fb fb fb fb

Kadar zakat fitrah di Johor ditetapkan RM7, RM12 dan RM20

Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor Mohd Fared Mohd Khalid

JOHOR BAHRU, 28 Februari - Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor menetapkan tiga kadar zakat fitrah iaitu RM7, RM12 dan RM20 pada tahun ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor Mohd Fared Mohd Khalid berkata berkata, penetapan itu dibuat berdasarkan harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan kebanyakan penduduk Islam di Johor, iaitu pada kadar timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.6 kilogram.

Beliau berkata penetapan harga beras dan peratus penggunaannya diperoleh daripada Bahagian Kawalselia Padi, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta pemborong dan peruncit di negeri itu.

Mohd Fared berkata ketetapan harga zakat fitrah bagi RM7 dikenakan kepada umat Islam yang menjadikan beras makanan hariannya daripada gred seperti super special tempatan dan beras hancur.

Pada kadar RM12 pula dikenakan kepada umat Islam yang menjadikan beras makanan hariannya selain super special tempatan iaitu beras import seperti beras putih import Thailand, Pakistan dan Vietnam.

"Sementara kadar RM20 pula dikenakan kepada umat Islam yang menjadikan beras makanan hariannya selain super special tempatan iaitu beras import seperti beras basmathi import dan super wangi serta ponnies," katanya pada sidang media selepas melancarkan Sambutan 100 Tahun Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), di sini.

Dalam pada itu, Mohd Fared berkata, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) mengunjurkan kutipan fitrah bagi tahun ini sebanyak RM9.32 juta dengan anggaran 2.51 juta pembayar fitrah.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor Mohd Fared Mohd Khalid berkata, seramai 1,637 amil telah dilantik bagi memungut fitrah, dengah Daerah Batu Pahat mencatatkan bilangan tertinggi, iaitu 308 Amil.

MAINJ juga mengambil inisiatif, menyediakan hebahan dwibahasa, bagi memudahkan golongan bukan warganegara, membayar zakat fitrah.

Sebanyak 54,156 pembayar zakat fitrah bukan warganegara direkodkan pada tahun lalu, melibatkan kutipan RM674,630.

Pada majlis sama, MAINJ memperuntukkan RM18.477 juta untuk bantuan hari raya bagi tahun ini, melibatkan 90,439 orang.

TETITIA YUSOFF