Kadar tambang siling: Rakyat mahu kawal selia lebih ketat

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 1 April – Kenyataan tegas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang memandang serius pengumuman kadar tambang siling baharu oleh Persatuan Pelancongan Dalam Negeri Malaysia (MITA), mendapat reaksi positif orang ramai.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengguna bimbang kenaikan tambang tanpa kawalan membebankan rakyat dan menjejaskan persaingan sihat dalam kalangan pengusaha.
  • Orang ramai menyokong tindakan kerajaan meneliti semula pengumuman kadar tambang siling oleh MITA.
  • Penetapan kadar tambang perlu mengikut undang-undang supaya rakyat tidak terbeban.
  • MITA umum kadar siling baharu kerana subsidi diesel pukal dimansuhkan tetapi tarikh lanjutan kadar tidak dinyatakan.

Salah seorang yang ditemui, Azilla Mat Zain, menyifatkan pengguna bimbang kenaikan tambang tanpa kawalan bukan sahaja membebankan rakyat, malah boleh menjejaskan persaingan sihat dalam kalangan pengusaha industri.

“Sebabnya yang paling penting ia akan menjejaskan pengguna itu sendiri yang terpaksa membayar lebih dan bila ada harga yang tinggi ia juga akan menjejaskan persaingan bebas antara pengusaha-pengusaha lain, jadi benda-benda ini memang kerajaan perlu memandang serius”, katanya di sini.

Mior Nadzmi Shah Mior Hizamuddin pula menyokong tindakan kerajaan untuk meneliti semula langkah MITA menaikkan tambang siling bas dan van persiaran.

Menurutnya, langkah itu penting bagi melindungi sektor pelancongan, khususnya melibatkan perkhidmatan seperti bas persiaran dan teksi.

“…bagi saya, saya setuju dengan pendapat yang diberikan oleh Yang Berhormat Menteri sebab secara langsung akan memberi kesan kepada sektor pelancongan kita, terutamanya seperti bas persiaran dan juga teksi yang berkaitan dengan pelancongan”, katanya.

Bagi Marsha Munauwar pula, beliau menegaskan sebarang kadar bayaran bagi perkhidmatan pengangkutan seperti bas dan van perlu ditetapkan mengikut undang-undang bagi memastikan rakyat tidak terbeban.

“Saya setuju dengan kenyataan Menteri KPDN sebab penetapan kadar bayaran untuk bas dan van itu kena ikut undang-undang yang telah ditetapkan supaya rakyat tidak terbeban”, ujarnya.

Ahad lalu, MITA mengumumkan kadar tambang siling baharu bagi bas dan van persiaran yang berkuat kuasa serta-merta, bagi membantu operator dan pelancong menyesuaikan diri dengan kenaikan harga diesel.

Menerusi kenyataan, MITA memaklumkan langkah itu diambil berikutan bas, van persiaran serta feri tidak dimasukkan dalam mekanisme subsidi diesel negara sejak subsidi pukal dimansuhkan pada 2024.

Kadar tambang bas persiaran kini ditetapkan sehingga RM1,100 bagi siri lawatan dan antara RM1,900 hingga RM2,200 untuk lawatan harian domestik, manakala kos sewaan van pula sehingga RM900 bagi siri lawatan.

Kadar baharu itu akan berkuat kuasa sehingga esok, 1 April, namun MITA tidak menyatakan sama ada kadar berkenaan akan diteruskan selepas tarikh tersebut.