fb fb fb fb fb

Kadar STR akan dinaikkan - Anwar

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 25 November- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan untuk menaikkan kadar Sumbangan Tunai Rahmah (STR). 

Menurut Anwar, ini bertujuan mengurangkan beban rakyat bagi menampung kesan pengurangan subsidi yang dibuat kerajaan. 

"Saya beri jaminan. Anda kata sebabkan penarikan subsidi berlaku dan beri kesan kepada rakyat, kita akan tambah STR bagi rakyat supaya dapat menampung kerugian ini," kata Anwar dalam Kongres Nasional PKR (KEADILAN) 2023.  

Tambahnya, barisan kepimpinan kerajaan juga perlu turun padang untuk memberi pemahaman kepada rakyat berhubung inisiatif dan langkah yang dibuat kerajaan. 

Ini termasuk isu berkaitan pengurangan subsidi pukal yang dilihat tidak relevan kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Dalam pada itu, Anwar berkata kepimpinan dan perwakilan parti KEADILAN diingatkan agar tidak terlibat dengan sebarang tindakan yang boleh meruntuhkan tatakelola dan prinsip parti, sekali gus menolak amalan rasuah demi memelihara idealisme parti bagi memartabatkan rakyat dan negara.

"Parti ini kena kukuh. Jangan tuntut sebarang habuan. Kita pernah susah dahulu, jangan susah dan derita sekarang. Semua hendak menjadi kaya, negara akan rosak. Jaga semangat parti, pelihara rakyat dan negara kita," kata Anwar.

Anwar turut menggesa agar seluruh kepimpinan dan perwakilan parti bersatu demi mendepani sentimen kaum dan agama yang kerap dimainkan sesetengah pihak. 

Sementara itu, Anwar merakamkan penghargaan kepada parti-parti politik gabungan yang mendukung prinsip dan tatakelola yang digagaskan Kerajaan Perpaduan.

Kolaborasi selama setahun itu menyaksikan rakan sejawat kekal setia dalam memastikan kerajaan kekal inklusif dan mewakili semua kaum serta wilayah. 

"Pelbagai telahan dan tohmahan telah dilontarkan, saya ingin tegaskan semula bahawa dalam perundingan awal, yang ditekankan adalah prinsip dan hala tuju negara, tatakelola yang baik, membanteras rasuah, memacu pertumbuhan ekonomi. Ini dasar dan saya ucapkan terima kasih kepada rakan-rakan kerana setia dengan prinsip ini," kata Anwar.

 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM