
KUALA LUMPUR, 10 Januari – Kerajaan akan terus bekerja keras bagi memastikan pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada peluang pekerjaan yang lebih baik, pendapatan bermaruah dan masa depan lebih terjamin untuk rakyat.
- Kerajaan komited memastikan pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada peluang pekerjaan lebih baik.
- Pasaran buruh kekal stabil dan disokong oleh kedudukan ekonomi yang menggalakkan.
- Kejayaan hasil usaha kerajaan MADANI membina dan mengukuhkan semula asas negara sejak tiga tahun lalu.
- Tenaga kerja mengalami peningkatan sedikit manakala penyertaan tenaga buruh kekal stabil.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi catatan dalam Facebook memaklumkan, kadar pengangguran negara menurun ke paras terendah dalam tempoh 11 tahun, setakat akhir tahun lepas.
“Pasaran buruh di pelbagai sektor pula kekal stabil, didukung kedudukan ekonomi yang semakin menggalakkan.
“Ini hasil usaha keras Kerajaan MADANI membina dan mengukuhkan semula asas negara sejak tiga tahun lalu,” katanya.
Kadar pengangguran negara pada November 2025 dilaporkan mencatat penurunan ke paras terendah dalam tempoh 11 tahun apabila berada pada 2.9 peratus.
Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan, jumlah tenaga buruh meningkat 0.2 peratus kepada 17.61 juta orang pada November 2025 berbanding 17.58 juta orang pada Oktober 2025 manakala kadar penyertaan tenaga buruh kekal pada 70.9 peratus.