MELAKA, 18 Mei - Kadar pengangguran di Melaka bagi suku keempat 2024 menurun kepada 1.8 peratus berbanding 2.6 peratus pada 2023.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata pencapaian itu membuktikan keberkesanan dasar kerajaan negeri dalam merancakkan peluang pekerjaan terutamanya membabitkan golongan belia negeri itu.
"Hari ini, Melaka memiliki lebih 200,000 belia dan ini bukan sekadar angka tetapi mereka ialah tenaga masa depan negeri dan negara serta aset paling berharga yang bakal mencorakkan wajah Melaka.
Justeru, pelbagai inisiatif telah dan sedang dilaksana merangkumi kebolehpasaran kerja, keusahawanan, pendidikan, pembangunan sahsiah, sosial dan nilai keagamaan.
Kerajaan negeri turut beri penekanan kepada pemerkasaan anak muda berkemahiran tinggi melalui pengukuhan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Beliau berkata semua usaha yang dilaksana itu bagi memastikan anak Melaka bukan sahaja mampu bersaing tetapi menjadi pilihan utama industri.
Beliau berkata memastikan suara belia terus didengari, kerajaan negeri menubuhkan Ahli Dewan Undangan Negeri Belia melibatkan 33 wakil daripada setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai platform latihan kepimpinan dan penglibatan dasar di peringkat akar umbi.
Ab Rauf terdahulu merasmikan Majlis Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Melaka 2025.