PUTRAJAYA, 10 Februari- Kadar pengangguran Malaysia turun kepada 3.1 peratus pada Disember 2024 sekali gus menunjukkan kadar terendah dalam tempoh sembilan tahun, sejak Mei 2015.
Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, menjelang penghujung 2024, bilangan penduduk bekerja menunjukkan trend positif, iaitu naik 0.2 peratus kepada 16.78 juta orang.
Manakala, bilangan penganggur turun 0.4 peratus kepada 544,300 orang.
Bagi prestasi suku keempat 2024, kadar pengangguran kekal pada 3.2 peratus.
Bilangan tenaga buruh bagi tempoh tersebut menunjukkan trend positif, naik 0.4 peratus kepada 17.34 juta orang, daripada suku sebelumnya.
Untuk keseluruhan tahun lalu, kadar pengangguran turun 0.1 peratus kepada 3.3 peratus, berbanding 2023.
Selaras dengan prestasi ekonomi, kedudukan pasaran buruh negara terus menunjukkan momentum pertumbuhan baik sepanjang tahun.
Tahun ini, pasaran tenaga buruh diunjur kekal meningkat secara konsisten, manakala pengangguran kekal rendah.
Sektor utama seperti pembuatan dan perkhidmatan akan menjadi penyumbang utama kepada pewujudan pekerjaan.