fb fb fb fb fb

Kadar mas kahwin di Pahang bermula pada RM100

Foto Hiasan / Foto BERNAMA

KUANTAN, 28 Mac - Kadar mas kahwin di negeri Pahang dinaikkan kepada RM100 berbanding kadar semasa sebelum ini iaitu RM22.50.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, kadar baharu itu bersesuaian dengan keadaan ekonomi semasa.

"Maka hari ini saya dengan ini memperkenankan pindaan kadar mas kahwin di negeri pahang iaitu bermula dengan kadar RM100.

"Kadar baharu ini adalah lebih munasabah sesuai dengan keadaan ekonomi semasa. Namun penentuan kadar maksimumnya adalah tertakluk kepada kemampuan dan peruntukan kedua-dua belah pihak suami dan isteri. Insya-Allah kerajaan pun dah luluskan", titah baginda demikian pada majlis perasmian Masjid Al-Hidayah Perumahan Alor Akar, Kuantan serta Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran, Bacaan Yasin dan Tahlil Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Shah di sini.

Turut berkenan berangkat Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Titah baginda, berdasarkan Seksyen 21 (1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2005, kadar RM22.50 telah diamalkan sejak tahun 1900 dan telah berlaku perubahan nilai dan faedah yang begitu ketara, pada masa kini.

Sementara itu, baginda turut mengingatkan masyarakat untuk membina keluarga yang sakinah, warahmah dan mawaddah.

Tambah baginda, setiap keluarga perlu hidup dengan kasih sayang, bertolak ansur dan mengamalkan sifat-sifat yang baik sebagai asas pembentukan keluarga bahagia.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD