KUALA LUMPUR, 4 Februari- Kadar keciciran pelajar mencatat trend penurunan bagi tempoh dari 2020 hingga 2024.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata pada peringkat rendah, kadar keciciran menurun daripada 0.10 peratus pada tahun 2020 kepada 0.06 peratus pada 2024.
Manakala di peringkat menengah, kadar keciciran turut menurun daripada 1.33 peratus pada tahun 2020 kepada 0.64 peratus pada tahun 2024.
Tambahnya, KPM juga bekerjasama dengan pelbagai pihak serta mekanisme pengurusan dan pemantauan berterusan bagi menangani isu keciciran murid.
"KPM menyedari bahawa terdapat sebahagian kumpulan murid perlu dibantu bagi mengelakkan mereka tercicir.
"Sebanyak 18 jenis bantuan persekolahan disediakan KPM terdiri daripada 13 jenis Bantuan Persekolahan Khusus dan lima jenis Bantuan Persekolahan Umum.
"Ini termasuklah Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang telah diedarkan pada Januari lalu, Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan Bantuan Pakaian Seragam.
"Pihak KPM juga melaksanakan pengurusan dan pemantauan inisiatif untuk menangani keciciran di sekolah melalui Garis Panduan Mengurus Murid Berisiko Cicir di Sekolah (GPMBC), modul Serlahkan Keunggulan Diri (SUDI) serta Buku Penulisan Kajian Kes Murid Berisiko Cicir dan Murid Cicir," katanya di Dewan Rakyat di sini.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff yang meminta KPM menyatakan pelan menangani isu keciciran pelajar, terutama di kawasan pedalaman dan golongan B40.