fb fb fb fb fb

Kadar inflasi negara pada tahap rendah, terkawal - Anwar

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 1 Mei- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan kos sara hidup rakyat ketika ini adalah yang paling tertinggi dalam sejarah negara.

Tegas Anwar, Malaysia mampu mengekalkan prestasi terbaik sejak dahulu dalam aspek pengawalan, selain mengangkat isu kos sara hidup rakyat sebagai salah satu agenda utama kerajaan.

"Kalau kritikan, teguran berdasarkan fakta, saya terima baik.

"Ada bidang yang kita harus perbaiki..tidak ada pemerintah yang sempurna, harus dengar. Tapi kalau jadi bebal, dengki, merengek macam kita dengar kos sara hidup ini paling tinggi dalam sejarah..kan bohong itu.

"Saya banding Singapura, Thailand, Indonesia, negara-negara jiran dan Filipina, kita masih terbaik daripada segi pengawalan.

"Apakah ini menyebabkan kita harus puas hati? Tidak.

"Tiap mesyuarat Jemaah Menteri itu kita tekankan. Kos sara hidup itu seolah-olah agenda tetap dalam mesyuarat sebab kita tidak pandang ringan rakyat terbeban," kata Anwar pada Program Soal Jawab bersama Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di RTM di sini.

Dalam pada itu, Anwar berkata beliau yakin kadar inflasi negara berada pada tahap rendah dan terkawal.

Jelasnya, kenaikan kadar gaji baharu penjawat awam itu dijangka hanya memberi implikasi kecil kepada kadar inflasi negara dan tidak akan menjejaskan rakyat.

"Soal kesan inflasi saya jangka ada sebab itu kita harus teliti tentang peringkat pelaksanaan dan pengawalannya.

"Kalau boleh pengeluarannnya. Hasil lebih melimpah ke 'market' (pasaran).

"Pemantauan harus lebih kemas..sebab itu kenaikannya berperingkat..Disember dan tahun berikutnya.

"Kalau ada pun naik..naik dalam keadaan terkawal dan seperti yang kita tahu kadar inflasi kita adalah yang terendah di Asia.

"Jadi, Kita jangkakan kenaikan sedikit mungkin boleh diterima tetapi kalau kenaikan yang tinggi itu akan membebankan rakyat," kata Anwar.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM