fb fb fb fb fb

Kadar baharu tarif air Perak naik 5 sen

Foto RTM

IPOH, 18 April -Tarif baharu air bagi penggunaan kategori domestik di Perak ditetapkan pada kadar 75 sen setiap meter padu, berbanding 70 sen pada masa ini, mulai 1 Mei depan.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dalam kenyataan memaklumkan, kenaikan 5 sen itu adalah melibatkan penggunaan sehingga 20 meter padu sebulan, manakala caj bagi penggunaan 21 hingga 35 meter padu ditetapkan pada kadar RM1.08 sen, berbanding RM1.03 sen sebelum ini.

Jelasnya, Lembaga Air Perak (LAP) memberikan rebat pada kadar 40 sen setiap meter padu bagi penggunaan sehingga 10 meter padu pertama sebulan iaitu bersamaan RM4 sebulan.

Ia bagi mengurangkan kesan perubahan tarif kepada pengguna domestik.

"Pertama ia sudah melepasi berapa tahun kita tidak pernah menaikkan tarif itu. Keduanya, ada keperluan khusus bagi Lembaga Air Perak (LAP) mempunyai wang yang mencukupi untuk memperbaiki perkhidmatannya.

"Jadi kita perlukan sedikit tambahan wang untuk membolehkan LAP dia nak ganti paip baru dan perbaiki mana-mana paip yang lama dan pelbagai sistem-sistem baharu", katanya di sini.

Katanya lagi, dengan rebat berkenaan, kadar purata tarif bagi penggunaan sehingga 20 meter padu dapat dikurangkan kepada hanya 55 sen bagi setiap meter padu berbanding 75 sen sekiranya tanpa rebat.

Ujarnya, dengan kenaikan 5 sen itu, penetapan kadar tarif air baharu air di Perak adalah jauh lebih rendah berbanding kadar purata 22 sen yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD