fb fb fb fb fb

Kad diskaun khas Menu Rahmah diperkenal, diskaun sehingga 40 peratus kepada pengusaha

Permohonan Kad Diskaun Khas Menu Rahmah mula dibuka hari ini melalui portal Menu Rahmah KPDN

KUALA LUMPUR, 2 November - Kad Diskaun Khas Menu Rahmah diperkenalkan kepada pengusaha Menu Rahmah, dengan tawaran diskaun sehingga 40 peratus bagi membeli barangan keperluan perniagaan.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata pengusaha boleh mendapatkan barangan di enam pasar raya yang telah menjalin kerjasama dengan kementerian.

"Kita juga buka kepada mana-mana pihak yang ingin bekerjasama membantu kerajaan dalam melaksanakan Menu Rahmah ini dibawah konsep atau nilai rahmah, kasih sayang tersebut.

"Dalam melaksanakan program kad diskaun Menu Rahmah ini kita juga sekali lagi mendapat kerjasama rapat daripada industri dan setakat ini kita berterima kasih kerana telah ada enam pasaraya yang telah bersetuju bekerjasama atas nilai kasih sayang itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Kad Diskaun Khas itu, di ibu negara.

Permohonan Kad Diskaun Khas Menu Rahmah mula dibuka hari ini melalui portal Menu Rahmah KPDN.

Antara kriteria yang ditetapkan adalah warganegara Malaysia dan perniagaan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta pihak berkuasa tempatan.

Sehingga kini sebanyak 2,849 premis berdaftar menawarkan Menu Rahmah di seluruh negara.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN