fb fb fb fb fb

Kabinet sedia bincang, pertimbang pengecualian SST utiliti elektrik

Datuk Seri Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR, 28 Februari- Kabinet sedia berbincang serta mempertimbang kemungkinan pengecualian daripada rancangan kenaikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) 8 peratus untuk penggunaan ulititi elektrik.

Bagaimanapun, perkara itu masih belum diputuskan kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof.

Setakat ini tiada sebarang rancangan untuk membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat kabinet akan datang dan ia sedang diteliti oleh Kementerian Kewangan secara menyeluruh.

"Sudah pasti, untuk beberapa kawasan, kerajaan akan melihat perkara itu.

"Belum ada keputusan muktamad, tetapi itu akan menjadi sebahagian daripada perkara yang kita sedang lihat. Ia termasuk siapa yang berhak mendapat pengecualian SST khususnya utiliti dan syarikat dan sebagainya kerana jika sebaliknya, ia kembali kepada rakyat," katanya dalam sidang media sempena Majlis Menandatangani Perjanjian Pembiayaan Ladang Fotovolta Solar antara Bank Islam Malaysia Berhad dan Gading Kencana Sdn. Bhd. di ibu negara.

Bermula 1 Mac ini, kadar SST bagi kebanyakan perkhidmatan termasuk perkhidmatan digital berpangkalan di luar negara akan dinaikkan kepada lapan peratus daripada enam peratus. 

Pada masa ini, hanya perkhidmatan makanan dan minuman, telekomunikasi dan perkhidmatan parkir kenderaan diberi pengecualian daripada kenaikan cukai itu.

Dalam perkembangan lain, selain tenaga solar, Malaysia turut memberi tumpuan untuk beralih kepada penggunaan sumber lain untuk penjanaan bekalan tenaga negara.

Menurut Fadillah, langkah itu penting untuk keterjaminan bekalan tenaga, selain memastikan tenaga bersih dapat dibekalkan kepada pengguna.

"Solar adalah salah satu pendekatan kita. Yang kedua ialah kita ingin lihat bagaimana kita dapat tingkatkan menggunakan biogas dan biojisim serta perkara-perkara lain. Kita juga melihat bagaimana hidrogen adalah salah satu sumber untuk bekalan tenaga kepada negara kita ni.

"Tetapi pada masa sama tenaga itu selamat dan merupakan tenaga yang mampan untuk alam sekitar. Kita juga pasti ia mampu dibayar oleh pengguna. Tidak kira pengguna individu, mahupun pihak industri dan sebagainya," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI