fb fb fb fb fb

Kabinet bincang cadangan pampasan keluarga mangsa tanah jerlus

Dr Zaliha Mustafa/ Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 1 September – Cadangan pemberian pampasan kepada keluarga wanita warga India yang terjatuh ke dalam lubang benam di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur  akan dibincangkan dalam Mesyuarat Kabinet pada hari Rabu, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.

Dr Zaliha mengumumkan hasrat tersebut selepas menghadiri majlis penutupan dan penyampaian anugerah Floria Diraja Putrajaya 2024 hari ini.

Beliau berkata, kerajaan bersedia untuk mempertimbangkan pemberian pampasan selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) terhadap G. Vijaya Lakshmi, seorang pelancong dari Kuppam, Andhra Pradesh, India, yang berusia 48 tahun, dihentikan pada hari kesembilan.

Vijaya Lakshmi terjatuh ke dalam lubang benam sedalam lapan meter pada 23 Ogos ketika berjalan di kawasan tersebut bersama keluarganya.

Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif, mengumumkan bahawa semua permohonan kebenaran merancang pembinaan di ibu negara kini perlu disertakan dengan laporan geoteknikal dari perunding bertauliah.

Keperluan ini terpakai kepada permohonan yang telah diluluskan tetapi perintah pembangunan belum dikeluarkan, serta permohonan yang masih dalam proses dan yang belum dikemukakan serta langkah ini akan berkuat kuasa serta-merta.

Berhubung dengan proses baik pulih lubang benam yang dijangka memakan masa antara tiga hingga enam bulan, Maimunah menjelaskan bahawa proses tersebut akan melibatkan audit integriti, pemeriksaan sistem perparitan bekalan air oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), dan kajian kestabilan geologi.

"Kami memerlukan kajian terperinci dari pintu masuk Kampung Baru ke Mydin (di Jalan Masjid India)," katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar mematuhi arahan dan memberi kerjasama kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semasa kerja-kerja pembaikan dijalankan di kawasan tersebut.

Trainee