fb fb fb fb fb

Jururawat beri penjelasan dakwaan suntik anak KJ vaksin kosong




KUALA LUMPUR, 16 Februari- Jururawat yang menyuntik vaksin COVID-19 kepada anak bongsu Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, tampil memberi penjelasan selepas beliau dikatakan memberi suntikan vaksin 'angin' kepada kanak-kanak tersebut seperti tular di media sosial.

Menerusi klip video dimuat naik di media sosial Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), jururawat berkenaan menyangkal dakwaan tersebut dan menyatakan proses suntikan yang dilakukan terhadap anak bongsu Khairy itu mengikut prosedur dan protokol ditetapkan.

Jururawat yang tidak didedahkan namanya itu memohon agar orang ramai tidak membuat spekulasi berkaitan perkara tersebut.

"Demi Allah saya tidak ada keluarkan apa apa vaksin yang tidak masuk dalam badan. Saya memang tidak ada buang apa-apa pun memang posedur biasa kita akan tarik sikit picgari untuk beri ruang udara sebelum menyuntiknya.

“Tolong, tolong, tolong, jika anda tidak tahu jangan buat andaian dan jangan tuduh kerana ini melibatkan kehidupan orang.

"Jika perkara ini jadi kepada diri anda, apa yang anda rasakan? Tidak selesa, sakit hati dan geram.

“Saya cuma buat kerja saya sedaya upaya untuk lancarkan proses dan berikan keselesaan kepada kanak-kanak yang saya cucuk vaksin.

"Saya tidak mahu menjadikan perkara ini sesuatu perkara yang mentraumakan mereka.

“Kalau anda tidak mahu ambil vaksin COVID-19 tidak mengapa, tetapi jangan tuduh orang secara tidak berasas seperti itu,” katanya pada Rabu.

Mengulas lanjut prosedur operasi standard (SOP), jururawat itu turut menjelaskan melakukan prosedur sama seperti ibu bapa yang lain.

"Saya ambil vaksin dan tunjukkan bebuli itu kepada ibu dan ayah serta saya tunjukkan juga bagaimana saya ambil dos vaksin daripada bebuli berkenaan dan masukkan ke dalam picagari.

“Saya dah tunjuk kepada ibu dan ayah supaya mereka nampak serta bersetuju dengan dos vaksin Pfizer iaitu 0.2 mililiter (ml).

"Sememangnya kita kena berinteraksi dengan kanak-kanak sebab faham dia punya ketakutan terhadap jarum dan saya terpaksa pegang mereka agar tidak lari atau bergerak.

“Saya tidak akan tunjukkan jarum itu kerana kanak-kanak akan jadi takut dan saya terpaksa letakkan tangan saya ke bawah dan cuba alih perhatian mereka seperti menyuruh mereka mengira satu hingga 10.

"Apabila mereka dah selesa baru saya akan menyuntik vaksin ke lengan mereka serta tunjukkan picagari itu semula kepada ibu bapa, dan memang rposedur biasa kita akan tarik sikit untuk beri ruang udara sebelum menyuntiknya ” jelasnya.

Dalam klip video tersebut juga, jururawat itu meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang andaian dan menghentikan sebarang tuduhan melulu kerana ia membabitkan kehidupan ramai pihak.

Sebelum ini, tular di media sosial video berdurasi 10 saat memaparkan Raif yang disuntik vaksin COVID-19 oleh jururawat berkenaan dengan kapsyen dakwaan dos tersebut dibuang terlebih dahulu sebelum disuntik ke lengan anak Menteri Kesihatan itu.











Media Baharu