JOHOR BAHRU, 22 Mac - Jumlah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang masih beroperasi di Johor menurun kepada 48 buah, selepas 47 PPS ditutup setakat pukul 6 petang tadi.
Menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, seramai 7,446 orang daripada 2,261 keluarga masih ditempatkan di PPS yang beroperasi di lima daerah, selepas kesemua PPS di Kulai ditutup pada pukul 4 petang.
Daerah Johor Bahru mencatatkan jumlah tertinggi dengan 15 PPS yang menempatkan seramai 1,209 penduduk terjejas banjir.
Tinjauan di Kampung Kangkar Tebrau, salah satu kawasan paling terjejas, mendapati air banjir telah surut dan penduduk telah mula kembali ke kediaman masing-masing untuk kerja pembersihan.
Keadaan yang semakin pulih membolehkan laluan utama di kampung tersebut boleh dilalui semula oleh semua jenis kenderaan, menghubungkan kawasan ke Taman Daya dan Lebuhraya Pasir Gudang.
Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Johor, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Huzaimi Raup berkata, pihaknya kini memberi tumpuan kepada PPS yang masih beroperasi serta menyelaras penghantaran pulang penduduk ke rumah apabila keadaan mengizinkan.
“Kami turut memberi fokus kepada kawasan Parit Yaani dan Kampung Parit Semarang di Batu Pahat yang merupakan lokasi terkini terjejas banjir,” katanya kepada RTM.
Tambah beliau, kelewatan berpindah ke PPS berlaku di beberapa lokasi di Johor Bahru kerana kawasan itu jarang dinaiki air, menyebabkan penduduk tidak menjangka keadaan banjir akan menjadi serius.