KOTA BHARU, 28 November- Jumlah penduduk terjejas banjir di Kelantan terus meningkat dengan 49,089 orang daripada 15,110 keluarga kini ditempatkan di 205 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 7.00 malam tadi.
Gua Musang menjadi jajahan terbaharu dilanda banjir hari ini menjadikan keseluruhan 10 jajahan terjejas.
Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pasir Mas kekal sebagai daerah paling teruk terjejas dengan 18,163 orang daripada 6,010 keluarga berlindung di 48 PPS.
Daerah lain yang turut mencatat jumlah penduduk terjejas yang tinggi termasuk Tumpat (6,967 orang), Pasir Puteh (4,455 orang), Kota Bharu (4,525 orang) dan Kuala Krai (4,280 orang).
Tanah Merah (4,132 orang), Machang (3,567 orang), Jeli (724 orang) dan Gua Musang (41 orang) turut terjejas.
Sementara itu, portal E-Bencana Negeri Kelantan melaporkan tujuh sungai utama masih berada pada paras bahaya termasuk Sungai Semerak di Pasir Puteh, Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard, Sungai Lebir di Tualang dan Sungai Golok di beberapa lokasi seperti Rantau Panjang, Kuala Jambu serta Jenob.
Keadaan di Kota Bharu juga membimbangkan apabila Sungai Kelantan di Tambatan Diraja telah melimpah menjejaskan kawasan berhampiran pusat bandar.