fb fb fb fb fb

Penduduk terjejas banjir di tiga negeri berkurangan petang ini

FOTO FAIL

KUALA LUMPUR, 10 Oktober - Jumlah penduduk terjejas banjir di Kedah, Perlis dan Johor mencatatkan penurunan pada petang ini.

Bagaimanapun bilangan penduduk terjejas banjir di Perak, kekal.

Di Kedah, Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata jumlah penduduk terjejas berkurangan kepada 3,474 orang daripada 1,113 keluarga setakat 4.00 petang ini berbanding 3,503 orang daripada 1,141 keluarga pagi ini.

"Kesemua mereka ditempatkan di 24 pusat pemindahan sementara (PPS) yang melibatkan daerah Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena dan Pendang," katanya dalam kenyataan.

Daerah Kubang Pasu mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 1,227 orang daripada 412 keluarga di sembilan PPS, diikuti Kota Setar 1,260 orang daripada 392 keluarga di sembilan PPS, sementara di Pokok Sena melibatkan 517 orang daripada 184 keluarga di empat PPS dan Pendang merekodkan 470 orang daripada 125 keluarga di dua PPS.

Di Perlis, jumlah penduduk terjejas sebanyak 525 orang daripada 166 keluarga setakat 4.00 petang ini, berbanding 773 orang daripada 245 keluarga pagi tadi, membabitkan beberapa kawasan terjejas di daerah Kangar dan Arau.

Pengarah APM Perlis Lt Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud dalam kenyataan hari ini memaklumkan antara kawasan terjejas ialah Kampung Tok Kandang, Kampung Bakau dan Kampung Belanga Pudak di Kangar manakala di Arau melibatkan Kampung Kubang Gajah dan Kampung Banggol Sena.

Beliau turut berkata ketika ini, kesemuanya telah ditempatkan di empat PPS iaitu di SK Sena dan Kolej Vokasional masing-masing di Kangar manakala di Arau melibatkan SK Kubang Gajah dan SK Arau.

"Sementara itu, dua PPS iaitu di SK Bintong, Kangar dan SK Guar Nangka, Arau, masing-masing ditutup pada 2 petang dan 10.30 pagi tadi,” katanya.

Di Johor, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata jumlah penduduk terjejas berkurangan kepada 17 orang daripada tiga keluarga setakat 4.00 petang ini, berbanding 111 orang daripada 30 keluarga sebelumnya dan kesemua penduduk ditempatkan di PPS SK Seri Bunut, Batu Pahat.

"Tiga PPS iaitu SK Seri Anom dan SK Parit Markom di Pontian serta SK Sungai Linau di Kluang pula telah ditutup,” katanya.

Sungai Sembrong di Parit Batu 2 Sembrong, Batu Pahat dan Sungai Ayer Hitam di Kampung Paya Embun, Pontian dilapor berada pada paras amaran, setakat petang ini.

Sementara itu di Perak, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah penduduk terjejas banjir petang ini kekal dengan 136 orang daripada 40 keluarga yang masih berlindung di dua PPS.

"Sebanyak 71 orang daripada 20 keluarga berlindung di PPS SK Changkat Lobak manakala di PPS SK Parit Haji Aman, Bagan Serai pula menempatkan 65 orang daripada 20 keluarga," menurut sekretariat itu.

TETITIA YUSOFF