fb fb fb fb fb

Jumlah penduduk terjejas banjir di Kelantan kini cecah 66,000

Anggota penyelamat memindahkan penduduk terjejas banjir yang uzur ke kawasan lebih selamat/APM Bachok

KOTA BHARU, 29 November - Jumlah penduduk terjejas banjir di Kelantan terus mencatatkan peningkatan berikutan hujan berterusan di negeri berkenaan.

Setakat 4.00 petang, seramai 66,209 penduduk telah dipindahkan ke 245 pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 60,232 penduduk di 227 PPS pada sebelah pagi.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan Pasir Mas merekodkan jumlah penduduk terjejas tertinggi melibatkan 22,486 penduduk di 56 PPS, diikuti Tumpat dengan 11,252 penduduk di 22 PPS.

Beberapa daerah lain termasuk Kota Bharu, Kuala Krai, Tanah Merah, dan Bachok turut terjejas, di samping Pasir Puteh, Machang, Jeli, serta Gua Musang.

Keadaan banjir turut menyebabkan tujuh sungai utama di Kelantan mencatatkan aras melebihi tahap bahaya, menurut portal Jabatan Pengairan dan Saliran.

Sungai-sungai tersebut termasuk Sungai Melor di Jambatan Melor, Bachok; Sungai Kelantan di Tambatan Diraja; dan Sungai Golok di Rantau Panjang.

Selain itu, paras bahaya turut direkodkan di Sungai Semerak di Pasir Puteh, Sungai Kelantan di Kusial, Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat, serta Sungai Kelantan di Kusial Baru.

BERITA BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA