Jumlah penduduk terjejas banjir di Ipoh kekal 11 orang

Sebahagian penduduk yang telah pulang ke kediaman masing-masing dan memulakan kerja-kerja pembersihan

IPOH, 18 Februari- Jumlah penduduk terjejas banjir di daerah Kinta di sini kekal 11 orang daripada lima keluarga, setakat 12.00 tengah hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kesemua 11 penduduk terjejas ditempatkan di PPS Dewan Kampung Tengku Hussein, Manjoi.
  • Paras air telah surut sepenuhnya dan sebahagian penduduk pulang untuk kerja pembersihan.
  • Penduduk melaporkan banjir berlaku sangat cepat, menyebabkan kehilangan dan kerosakan barangan.
  • Permohonan bantuan lebih menyeluruh terutama menjelang Ramadan untuk menggantikan barangan rosak.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri  memaklumkan kesemua mereka ditempatkan di Dewan Kampung Tengku Hussein, Manjoi.

Tinjauan RTM di lokasi mendapati paras air telah surut sepenuhnya dan sebahagian penduduk mula pulang ke kediaman masing-masing.

Seorang penduduk, Wan Mahayuddin Wan Amran berkata banjir berlaku dengan cepat sehingga mereka tidak sempat menyelamatkan barangan.

“Air masuk dengan cepat hingga kami tak sempat menyelamatkan apa-apa, semua barang habis rosak dan tidak boleh digunakan,” katanya.

Situasi sama turut dinyatakan Abdul Hazim Zahari: “Air waktu itu naik dengan sangat laju. Kami tidak sempat mengambil atau memindahkan barang… banyak barang rosak,” ujarnya.

Sementara itu, Zabedah Ibrahim berkata bantuan diperlukan terutama menjelang Ramadan pada Khamis susulan banyak barangan tidak boleh digunakan lagi.

“Kami berharap bantuan lebih menyeluruh diberikan bagi menghadapi bulan Ramadan. Banyak barang di rumah yang rosak dan tidak boleh digunakan,” katanya.