fb fb fb fb fb

Jumlah penduduk terjejas banjir berkurang kepada 12,255

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 30 Disember - Jumlah keseluruhan penduduk terjejas banjir berkurang kepada 12,255 orang setakat pukul 3.00 petang tadi berbanding 15,311 orang setakat tengah hari.

Menurut portal InfoBencanaJKM, 43 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di empat negeri termasuk Kelantan, Terengganu, Johor dan Pahang.

Di Kelantan, penduduk terjejas banjir berkurang daripada 14,385 orang kepada 11,672 orang setakat tempoh tersebut.

Menerusi portal berkenaan, kesemua 3,726 keluarga terjejas di Kelantan itu ditempatkan di 32 PPS.

Manakala di Terengganu, jumlah penduduk terjejas banjir berkurang kepada 395 orang berbanding 729 orang tengah hari tadi.

Kesemua penduduk terjejas banjir di negeri itu ditempatkan di empat PPS.

Pahang pula mencatat penurunan penduduk terjejas banjir iaitu 133 orang setakat pukul 3.00 petang berbanding 142 orang tengah hari tadi.

Sebanyak lima PPS dibuka di Pahang setakat ini.

Dalam pada itu di Johor, jumlah penduduk yang terjejas kekal 55 orang di dua PPS.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM