KUANTAN, 17 Februari- Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata jumlah miskin tegar di negeri itu pada tahun lepas berkurangan sebanyak 60 peratus.
Beliau berkata Laporan Kesejahteraan Rakyat Negeri Pahang merekodkan jumlah miskin tegar pada 3 Januari 2023 ialah seramai 4,968 orang dan menurun kepada 1,946 orang pada 31 Disember tahun sama.
“Kejayaan pengurangan ini hasil usaha berterusan kerajaan negeri dalam memberi pelbagai bentuk bantuan, sumbangan dan inisiatif serta projek pembangunan, yang secara langsung membuka peluang pekerjaan,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebooknya.
Sementara itu, Wan Rosdy berkata hanya 184,822 individu di negeri ini telah mendaftar dan mengemas kini data mereka di Sistem Pangkalan Data Utama (PADU), setakat 15 Feb berbanding 1.09 juta rakyat Pahang berusia 18 tahun ke atas.
Sehubungan itu, beliau berharap mereka yang masih belum mendaftar, dapat berbuat demikian sebelum tarikh akhir iaitu pada 31 Mac.