fb fb fb fb fb

Julina Johan dilantik KP JaPen baharu

Ketua Pengarah JaPen, Julina Johan

KUALA LUMPUR, 13 Mei- Julina Johan dilantik sebagai Ketua Pengarah (KP) Jabatan Penerangan (JaPen) baharu, berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan Julina diumum Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.

Menerusi muat naik di Facebook, beliau berharap jabatan berkenaan akan terus jadi peneraju komunikasi kerajaan berwibawa seiring aspirasi Malaysia MADANI.

Julina dilantik ke jawatan Timbalan Ketua Pengarah, September lepas.

Beliau merupakan wanita kedua dilantik sebagai Ketua Pengarah Penerangan.

Sementara itu, Bahagian Media dan Komunikasi Korporat JaPen, dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan Julina merupakan Ketua Pengarah ke-19 dan wanita kedua pernah dilantik mengetuai jabatan itu sejak penubuhannya pada 1945.

Julina, 53 tahun merupakan bekas Timbalan KP (Kandungan Digital) JaPen, jawatan yang disandangnya sejak tahun lalu.

Sepanjang kerjayanya dalam perkhidmatan awam, Julina yang berasal dari Johor juga pernah berkhidmat di pelbagai kementerian termasuk Kementerian Pendidikan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri.

“Dengan pengalaman luas, pengetahuan dan kredibiliti beliau, diyakini beliau akan dapat memperkukuh tadbir urus dan meneruskan kecemerlangan JaPen,” menurut kenyataan itu.

Pemegang ijazah Sarjana Komunikasi Korporat dari Universiti Putra Malaysia, Julina menyertai perkhidmatan awam pada 1996 dan mempunyai pengalaman luas dalam perhubungan awam kerajaan dan komunikasi strategik.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE