KUALA LUMPUR, 28 Januari - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beriltizam untuk mereformasi ekonomi negara bagi menjulang darjat rakyat.
Beliau berkata langkah itu wajib bermula dengan golongan kurang berkemampuan.
Kata Anwar, program subsidi bersasar Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang diumum minggu lepas merupakan antara langkah besar bagi merealisasikan gagasan itu.
"Saya turun padang ke Mydin di Meru, Ipoh hari ini bagi melihat sendiri kesedaran dan impak SARA yang disasarkan untuk membantu menambah kuasa beli kepada mereka yang memerlukan bagi mendapatkan barang-barang asas dari rangkaian rakan runcit dengan lebih 500 kedai terlibat di seluruh negara.
"Moga ia bermanfaat dan meningkatkan ekonomi negara," katanya menerusi hantaran di laman Facebook.
Terdahulu, Anwar meninjau Program Jualan Termurah Khidmat Demi Rakyat di Padang Awam Klebang Restu di sini hari ini sebelum ke pasar raya Mydin dan kaunter bergerak Lembaga Hasil Dalam Negeri Perak bagi semakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta SARA.