KLUANG, 9 Mac- Lapan lokasi telah dipilih Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, untuk menjalankan 'Jualan Rahmah Madani Back to School' di negeri itu, bermula hari ini sehingga esok.
Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, jualan melibatkan kerjasama tiga pasar raya, menawarkan harga barangan keperluan sekolah yang dikurangkan sehingga 30 peratus.
Lokasi tersebut melibatkan Kluang, Batu Pahat, dan Kota Tinggi, pusat Beli Belah Big Ten, Johor Bahru dan Segamat serta Muar dan Pontian.
"Kadang-kadang juga pasar raya sendiri, contohnya akan menawarkan 10 peratus dan 20 peratus akan ditampung kerajaan dan sebagainya untuk barang-barang terpilih dan utama", katanya.
Beliau berkata demikian semasa menghadiri program itu, yang menyaksikan 25 pelajar B40 dari Sekolah Kebangsaan Kampung Melayu, Kluang, menerima sumbangan keperluan sekolah.
Selain itu, beliau turut menggesa masyarakat untuk menyalurkan aduan kepada KPDN sekiranya terdapat peniaga menetapkan syarat tertentu untuk membeli barang keperluan.
Ia susulan kesalahan itu dikesan masih dilakukan di Kluang, Segamat dan Johor Bahru, sejak Januari hingga kini.