KUANTAN, 4 Julai- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menawarkan jualan murah antaranya 5,000 kampit beras 10 kilogram, 3,000 papan telur ayam dan set kombo MADANI sepanjang Program MADANI Rakyat 2024 Zon Timur di Dataran Sayangi Kuantan di sini bermula esok.
Pengarah FAMA, Pahang Saiful Sadri berkata harga sekampit beras 10 kilogram dijual dengan harga RM26 manakala telur gred A RM12 satu papan, gred B (RM11) dan gred C (RM10).
“Kombo MADANI yang meliputi barangan asas akan dijual pada harga RM10. Ia mempunyai dua set pilihan dan tambah menarik, harga akan diturunkan lagi kepada RM8 ketika waktu ria (happy hour),” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata set Kombo MADANI A mengandungi barangan seperti bihun, satu peket minyak masak, cili merah, 10 biji telur dan 300 gram bawang manakala bagi Kombo MADANI B, FAMA menawarkan empat ekor ikan keli, satu peket minyak masak, cili merah dan bawang.
Selain tawaran itu, Saiful berkata pelbagai sayur-sayuran dan buah-buahan dengan harga murah juga menanti para pengunjung.
Program MADANI Rakyat 2024 Zon Timur dijadual dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu ini.
Selain usaha kerajaan menyediakan perkhidmatan terus kepada rakyat, program berkenaan dapat mewujudkan saluran komunikasi berterusan antara masyarakat dengan kerajaan, sekali gus memperkukuh hubungan dalam usaha membina negara yang lebih sejahtera selaras agenda Malaysia MADANI.
Maklumat lanjut berkaitan program, layari portal https://malaysiamadani.gov.my.